Resepi2 Warisan


Lontong Daun Pisang Batu
Lontong dibuat secara tradisional kini sukar didapati. Lontong bukan nasi impit atau ketupat.

Cara-cara menghasilkannya:

Ambil daun dari pokok pisang batu / sematu / nipah (bergantung dari negeri mana anda berada).

Memakai daun pisang batu dapat menghasilkan warna yang sangat hijau semulajadi dan wangi. Daun pisang lain boleh dipakai tetapi tidak dapat menghasilkan warna hijau dan kekurangan wangi.

Cuba dapatkan daun dari ladang organik. Jika dari ladang biasa, banyak ubat kulat di pakai.


Buah pisang batu berbentuk 3 segi dan bertompok-tompok hitam

Pokok pisang batu sangat tinggi. Diladang kami mencapai ketinggian 30 kaki. Kami banyak menanam pokok-pokok ini untuk meredupkan ayam-ayam kami di padang rumput. Pisang ini lebih enak di masak (di goreng) daripada terus memakan mentah. 


jantung pisang batu di ladang kami besar dan mencapai 18 inci panjang


Ambil 2 atau 3 helai daun dan terus menggulong dengan menggunakan acuan (botol, paip PVC dan sebagainya). Ini di namakan kelongsong. Pastikan kelongsong di gulung 3 atau 4 kali, ini kerana beras tidak akan keluar sewaktu proses merebus. Keluarkan acuan dan buat lipatan di bahagian hujung dengan memakai lidi atau menjahit (supaya tidak cepat basi).




Daun pisang batu dapat menghasil kan warna hijau pekat dan nasi kelihatan padat seperti pulut. 
Isikan kelongsong ini dengan beras 30% atau 40% panjang kelongsong. Pastikan beras dicuci dan ditoskan sebelum dimasukkan ke dalam kelongsong. (Buat satu cubaan dahulu kerana lain-lain jenis beras mempunyai cirri-ciri perkembangan yang lain.)

Kemudian lipat di bahagian hujung dengan menggunakan lidi / menjahit. Terus merebus di dalam periuk “stainless steel” 3 atau 4 jam. (Jangan memakai periuk aluminium kerana warna hijau tidak akan kelihatan).



Keluarkan dan tapiskan. Sesudah sejuk boleh di potong dan di jamah. Simpan di tempat redup dan kering, boleh tahan selama 3 hari (pastikan di tiap penghujung tidak lembut). Simpan di dalam peti sejuk selama 10 hari.




Hidangkan dengan rendang, sambal, kari, kuah kacang, masak lemak, ‘stew’ ayam / daging ala cina atau Western.




No comments:

Post a Comment